Tujuh belas bulan selepas menyambut kelahiran anak pertama kami, iaitu seorang anak lelaki, anak perempuan kami dilahirkan. Saya sangat gembira kerana memiliki anak perempuan, tetapi juga sedikit gementar. Ini kerana walaupun saya tahu serba sedikit tentang anak lelaki, saya tiada pengalaman untuk menjaga anak perempuan. Kami menamai anak perempuan kami Sarah. Salah satu tugas saya adalah mengayunnya sehingga dia tertidur supaya isteri saya dapat berehat. Saya tidak pasti mengapa, tetapi sejak itu, saya mula menyanyi untuk menidurkannya, dan lagu pilihan saya ialah “You Are My Sunshine” (“Kaulah Sinaran Matahariku”). Sama ada mendukungnya atau berdiri sambil melihatnya dalam ayunan, saya menyanyi dengan gembira dan menghayati setiap detik itu. Sekarang anak perempuan saya berumur 20-an, dan saya masih memanggilnya Sunshine (sinaran matahari).
Kita biasanya berfikir tentang malaikat yang menyanyi. Tetapi bilakah kali terakhir anda membayangkan Tuhan menyanyi? Ya, Tuhan menyanyi. Bilakah kali terakhir anda mendengar Tuhan menyanyi kerana anda? Zefanya berbicara dengan jelas kepada Yerusalem, “TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu; … Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira” (Zefanya 3:17). Walaupun mesej ini berbicara terus tentang Yerusalem, Tuhan juga pasti menyanyi kerana kita, orang-orang yang telah menerima Yesus sebagai Penyelamat. Apakah lagu yang dinyanyikan-Nya? Hal ini tidak jelas dalam Alkitab. Tetapi lagu itu lahir daripada kasih-Nya, dan kita boleh percaya bahawa ia adalah “perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat” (Filipi 4:8).