Casey, seorang ketua geng remaja dan pengikutnya telah memecah masuk rumah dan kereta, merompak kedai runcit serta bertempur dengan geng lain. Akhirnya Casey ditahan dan dijatuhi hukuman. Di penjara, dia menjadi ketua yang mengagihkan pisau buatan sendiri semasa rusuhan.
Beberapa lama kemudian, dia ditempatkan di sel pengasingan. Semasa mengelamun di selnya, semua peristiwa penting dalam hidupnya ditayangkan seperti sebuah “filem” di depan matanya—dan Yesus, yang dipaku di atas kayu salib berkata kepadanya, “Aku melakukan hal ini untuk anda.” Casey rebah ke lantai sambil menangis dan bertaubat kerana dosa-dosanya. Kemudian, dia menceritakan pengalamannya dengan pastor yang melayani di penjara. Pastor itu menjelaskan lebih lanjut tentang Yesus dan memberinya sebuah Alkitab. “Itulah permulaan perjalanan imanku,” kata Casey. Pada kemudian hari, dia dipindahkan ke sel penjara biasa dengan banduan lain dan mula diperlakukan dengan buruk kerana imannya. Tetapi ada kedamaian dalam dirinya kerana “dia telah menemukan panggilan baharu: memberitahu banduan lain tentang Yesus.”
Dalam suratnya kepada Timotius, rasul Paulus berbicara tentang kuasa Kristus yang mengubah kehidupan. Tuhan memanggil kita meninggalkan kehidupan yang berdosa untuk mengikut dan melayani Yesus (2 Timotius 1:9). Apabila kita percaya kepada Dia, kita akan rindu untuk menjadi saksi yang hidup tentang kasih Kristus. Roh Kudus memampukan kita berbuat demikian, bahkan pada saat kita mengalami penderitaan dan berusaha untuk berkongsi Berita Baik (ayat 8). Seperti Casey, marilah kita hidup dalam panggilan baru ini.