Sedekad yang lalu, bangsa Banwaon tidak mengenal nama Yesus. Mereka tersembunyi di pergunungan Mindanao di Filipina dan tidak banyak terdedah kepada dunia luar. Penghantaran bekalan ke tempat itu mengambil masa sehingga 2 hari, malah seseorang perlu mendaki gunung yang berceranggah. Kewujudan mereka tidak disedari oleh dunia ini. 

Kemudian sekumpulan mubaligh menjangkau orang-orang Banwaon, membawa mereka masuk dan keluar dari kawasan ini dengan helikopter. Ini membolehkan orang-orang Banwaon memperoleh bekalan yang diperlukan, bantuan perubatan dan kesedaran tentang dunia luar. Hal ini juga membantu mereka mengenali Yesus. Sekarang mereka tidak lagi menyembah makhluk halus, sebaliknya mereka menyanyikan lagu-lagu tradisional mereka dengan lirik baru untuk memuji Tuhan yang benar. Penjelajahan kumpulan mubaligh ini mewujudkan perhubungan yang penting.

Ketika Yesus kembali kepada Bapa-Nya yang di syurga, Dia memberi perintah ini kepada para pengikut: “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah” (Matius 28:19). Perintah itu masih harus didukung sehingga sekarang.

Kumpulan orang yang belum dijangkau tidak terbatas kepada kaum asing yang kita belum pernah dengar. Biasanya, mereka adalah orang yang tinggal di sekeliling kita. Untuk menjangkau orang-orang Banwaon, kita memerlukan kreativiti dan hikmat. Kisah ini memberi inspirasi kepada kita untuk mencari cara yang kreatif bagi mengatasi halangan dalam komuniti. Ia mungkin termasuk kumpulan “tidak dapat dijangkau” yang belum pernah anda fikirkan—seseorang yang berada di kawasan kejiranan anda. Adakah Tuhan mungkin memakai anda menjangkau orang lain bagi Yesus?