Ketika kedai-kedai kecil di Tennessee, Amerika Syarikat, ditutup secara tiba-tiba dalam usaha menghentikan jangkitan COVID-19, para pemilik kedai bimbang akan kebajikan pekerja mereka, bayaran sewa dan cara untuk bertahan dalam krisis ini. Untuk mengatasi kebimbangan mereka, pastor di sebuah gereja berhampiran Nashville memulakan rancangan untuk memberikan wang tunai kepada para pemilik perniagaan yang sedang mengalami kesusahan.

Pastor itu menjelaskan, “Kita tidak rasa senang jika tidak menggunakan tabung kecemasan gereja sementara orang lain sedang mengalami musim kekurangan.” Dia berkata demikian sebagai dorongan kepada gereja-gereja lain di kawasan tersebut untuk ikut serta dalam usaha ini.

Tabung kecemasan ini adalah wang yang diasingkan dan digunakan sekiranya pendapatan menurun pada masa-masa tertentu. Pada masa yang sama, kehidupan harian perlu diteruskan seperti biasa. Walaupun wajar bagi kita untuk menjaga kepentingan diri terlebih dahulu, tetapi Alkitab mendorong kita selalu melihat keperluan orang lain, mencari jalan untuk melayani orang lain dan mengamalkan kemurahan hati. Amsal 11 mengingatkan kita, “Ada orang yang suka memberi tetapi masih bertambah kaya,” “orang yang murah hati akan menjadi makmur. Orang yang suka menolong akan ditolong juga” (ayat 24–25).

Adakah cahaya matahari bersinar lebih terang dalam hidup anda pada hari ini? Perhatikan jika orang lain di sekeliling anda memerlukan bantuan. Berkat-berkat Tuhan yang diberikan dengan murah hati dalam hidup anda akan berlipat ganda apabila anda berkongsinya dengan orang lain. Kemurahan hati ialah cara terbaik untuk memberi harapan kepada orang lain dan mengingatkan orang yang menderita bahawa Tuhan mengasihi mereka.