Ketika Christian Mustad menunjukkan karya seni landskap Van Gogh yang dimilikinya kepada seorang pengumpul seni, Auguste Pellerin, Pellerin melihatnya dan mengatakan bahawa lukisan itu tidak asli. Mustad akhirnya menyembunyikan lukisan itu di loteng dan kekal di situ selama 50 tahun. Setelah Mustad meninggal dunia, lukisan itu dinilai berulang kali selama 4 dekad. Setiap penilaian menyatakan lukisan itu palsu sehingga pada tahun 2012, ketika seorang pakar menggunakan komputer untuk menghitung benang halus pada kanvas lukisan itu. Dia mendapati bahawa kanvas karya Van Gogh yang lain adalah sama dengan kanvas lukisan ini. Selama ini, ternyata Mustad memiliki karya Van Gogh yang asli.
Adakah anda juga berasa diri seorang Kristian palsu? Adakah anda takut jika orang menilai diri anda serta mendapati betapa sedikitnya anda berdoa, memberi persembahan dan melayani? Adakah anda tergoda untuk bersembunyi di loteng dan menjauhkan diri daripada pandangan orang lain?
Perhatikan pelbagai aspek hidup anda dengan lebih mendalam. Sekiranya anda telah meninggalkan hidup lama dan percaya kepada Yesus, maka anda dan Tuhan tergolong dalam kanvas yang sama. Dengan menggunakan gambaran “Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya” (Yohanes 15:5), Yesus dan anda membentuk sebuah gambar yang sempurna.
Tinggal dalam Yesus menjadikan anda pengikut-Nya yang sejati. Ini juga satu-satunya cara untuk memperbaiki “lukisan” diri anda. Dia berkata, “Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (ayat 5).