Ketika ayah Pris, seorang pastor, menjawab panggilan Tuhan untuk menjadi perintis bagi satu misi di sebuah pulau kecil di Indonesia, keluarga Pris tinggal di sebuah bangsal usang yang pernah digunakan untuk memelihara haiwan. Pris teringat akan keluarganya yang duduk di atas lantai meraikan Hari Krismas dan menyanyikan lagu pujian sementara air hujan menitik melalui atap jerami. Tetapi ayahnya mengingatkannya, “Pris, walaupun kita miskin, ini tidak bermaksud Tuhan tidak mengasihi kita.”
Sesetengah orang mungkin melihat kehidupan yang diberkati Tuhan sebagai kehidupan yang penuh dengan kekayaan, kesihatan dan umur panjang. Oleh itu, apabila dalam kesusahan, mereka mungkin tertanya-tanya apakah mereka masih dikasihi Tuhan. Dalam Roma 8:31–39, Paulus mengingatkan kita bahawa tiada yang dapat menghalang kita daripada kasih Yesus tidak kira masalah, kesusahan, penganiayaan atau kelaparan (ayat 35). Inilah dasar kehidupan yang benar-benar diberkati: Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita dengan mengutus Anak-Nya, Yesus untuk mati bagi dosa kita (ayat 32). Kristus bangkit daripada kematian dan sekarang duduk “di sebelah kanan Allah” dan membela kita (ayat 34).
Ketika mengalami penderitaan, kita dapat berpegang teguh pada kebenaran bahawa hidup kita berakar pada apa yang telah dilakukan oleh Kristus untuk kita. “Baik kematian mahupun kehidupan … tidak ada sesuatu pun di alam semesta” (ayat 38–39) yang dapat menghalang kita daripada kasih-Nya. Apa pun keadaan dan kesusahan yang kita alami, semoga kita diingatkan bahawa Tuhan menyertai kita dan tiada yang dapat memisahkan kita daripada Dia.