Pada tahun 2020, gunung berapi Sangay di Ecuador meletus. Perbadanan Penyiaran British (BBC) menyatakan bahawa terdapat “abu gelap yang bergumpal-gumpal mencapai ketinggian lebih daripada 12,000 meter.” Gumpalan abu itu meliputi 4 wilayah (sekitar 198,000 ekar) dengan debu kelabu dan jelaga. Langit menjadi suram dan kotor, malah udara dipenuhi debu tebal yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Seorang petani bernama Feliciano Inga menggambarkan keadaan yang menggentarkan itu kepada akhbar El Comercio: “Kami tidak tahu dari mana datangnya debu ini. … Kami melihat langit menjadi gelap dan mula berasa takut.”

Orang Israel mengalami ketakutan yang serupa di Gunung Sinai ketika mereka “berdiri di kaki gunung yang diliputi oleh awan tebal daripada asap hitam, dan oleh api yang menyala sampai ke langit” (Ulangan 4:11). Suara Tuhan berderam-derum dan semua orang ketakutan. Ia sangat menggerunkan, bagaikan pengalaman yang hebat dan melemahkan lutut apabila mereka bertemu dengan Tuhan yang hidup.

“TUHAN berfirman” dan mereka “mendengar suara-Nya tetapi tidak melihat Dia dalam bentuk apa pun” (ayat 12). Tuhan dengan suara yang menggentarkan seluruh badan mereka memberi hidup dan harapan. Tuhan memberikan Sepuluh Hukum kepada orang Israel dan memperbaharui perjanjian-Nya dengan mereka. Suara dari awan gelap itu membuatkan mereka gementar, tetapi juga berbicara dengan penuh kasih (Keluaran 34:6-7).

Tuhan kita adalah Tuhan Yang Maha Kuasa dan di luar jangkauan kita, bahkan sukar dijangka. Tetapi Dia juga penuh kasih dan sentiasa menyertai kita. Tuhan yang penuh kuasa dan pengasih, adalah Tuhan yang sangat kita perlukan.