Ketika menuju ke kereta, Zander melepaskan diri daripada pelukan ibunya dan berlari ke arah pintu gereja. Dia tidak mahu pergi! Ibunya pun mengejarnya dan cuba memujuknya dengan penuh kasih agar mereka dapat pulang. Akhirnya, ibunya berjaya meraih Zander yang berusia 4 tahun itu ke dalam rangkulannya. Zander pula menangis teresak-esak dan bersandar pada bahu ibunya sambil melihat ke arah gereja ketika mereka pergi dari situ.
Zander mungkin hanya suka bermain dengan kawan-kawannya di gereja, tetapi semangatnya itu menggambarkan keinginan hati Daud untuk menyembah Tuhan. Meskipun dia mungkin meminta Tuhan menggagalkan rancangan musuh-musuhnya demi keselamatan dan keamanannya sendiri, Daud mendambakan kedamaian agar dia dapat “menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya” (Mazmur 27:4). Keinginan hatinya adalah untuk bersama dengan Tuhan dan bersukacita di hadirat-Nya. Daud, sebagai Raja dan pahlawan terhebat di Israel berhasrat untuk “menyanyi dan memuji TUHAN” (ayat 6) pada masa yang aman damai itu.
Kita bebas menyembah Tuhan di mana sahaja kita berada kerana Roh Kudus tinggal dalam kita yang percaya kepada-Nya (1 Korintus 3:16; Efesus 3:17). Semoga kita rindu untuk menghabiskan hari-hari kita di hadirat-Nya dan berkumpul untuk menyembah Dia. Kita mendapat keselamatan dan sukacita besar hanya dalam Tuhan, bukannya dalam sebuah bangunan.