Pada tahun 2006, ayah saya didiagnosis dengan penyakit neurologi yang menjejaskan ingatan, pertuturan dan kawalan terhadap tubuhnya. Pada tahun 2011, dia tidak dapat bergerak dan hanya terbaring di katil serta dijaga oleh ibu saya. Kita mengalami masa-masa yang sukar pada permulaan penyakitnya. Saya sangat takut: Saya tidak tahu caranya untuk menjaga orang yang sakit. Saya juga bimbang tentang soal kewangan dan kesihatan ibu saya. 

Ratapan 3:22 menolong saya bangun setiap pagi walaupun cahaya kelihatan kelam seperti keadaan hati saya: “Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan.” Dalam bahasa Ibrani, perkataan “berkesudahan” bermaksud “digunakan sepenuhnya” atau “telah sampai ke penghujung.”

Kasih Tuhan yang abadi membolehkan kami terus maju untuk menghadapi hari ini. Ujian yang kami hadapi mungkin terlalu mencabar, tetapi kita tidak akan dihancurkan oleh kesukaran ini kerana kasih Tuhan jauh lebih besar!

Sudah banyak kali saya menceritakan bagaimana Tuhan menunjukkan kesetiaan dan kasih-Nya kepada keluarga saya. Saya melihat pembekalan-Nya ditunjukkan melalui kebaikan saudara-mara dan rakan-rakan, nasihat doktor, kewangan dan peringatan dalam hati kami bahawa suatu hari kelak ayah saya akan disembuhkan di syurga.

Jika anda sedang melalui masa-masa yang gelap, jangan putus asa. Anda tidak akan dihancurkan oleh masalah yang anda hadapi. Teruslah percaya kepada kasih dan pembekalan Tuhan yang setia bagi anda.