Ahli psikologi Madeline Levine memerhatikan gaya pakaian seorang gadis berumur 15 tahun yang cenderung mencederakan diri. Dia mengenakan kemeja lengan panjang yang ditarik sampai menutupi tangannya. Namun ketika gadis itu menarik lengan bajunya, Levine terkejut melihat bahawa dia telah mengukir perkataan “kosong” pada pergelangannya dengan menggunakan mata pisau cukur. Madeline berasa sedih, tetapi juga bersyukur kerana remaja itu terbuka untuk menerima pertolongan yang sangat diperlukan. 

Gadis ini mewakili ramai orang yang telah mengukir perkataan “kosong” dalam hati mereka. Yohanes menulis bahawa Yesus datang untuk memenuhi apa yang kosong dan menawarkan hidup yang “kelimpahan” (Yohanes 10:10). Tuhan meletakkan keinginan untuk hidup yang kelimpahan dalam hati setiap manusia dan Dia merindukan anak-anak-Nya mengalami hubungan yang penuh kasih dengan-Nya. Tetapi Dia juga memberi amaran bahawa “pencuri” akan memperalatkan orang, benda dan keadaan sekeliling untuk menghancurkan kehidupan mereka (ayat 1, 10). Janji-janji hidup tentang kelimpahan yang ditawarkan oleh “pencuri” merupakan penipuan dan harapan palsu. Sebaliknya, Yesus menawarkan apa yang benar—“hidup sejati dan kekal” serta berjanji bahawa “tidak seorang pun dapat merampas [kita] dari tangan [Bapa]” (ayat 28).

Hanya Yesus yang dapat mengisi ruang kosong dalam hati kita. Jika anda berasa kosong, panggillah nama-Nya hari ini. Jika anda mengalami masalah serius, carilah nasihat orang-orang salih. Hanya Kristus yang menyediakan hidup yang kelimpahan―kehidupan penuh makna yang hanya ditemukan dalam Dia.