Akhirnya, penulis Annie Dillard berpeluang mengunjungi gereja tersebut. Di bahagian bawah tanah gereja yang paling dalam, dia tiba di sebuah gua kecil. Lilin memenuhi ruang yang sempit itu dan lampu yang tergantung telah menerangi suatu sudut lantai. Sebuah bintang perak yang mempunyai 14 penjuru telah menutupi lantai marmar tersebut. Annie berada di Gua Kelahiran Yesus (Grotto of the Nativity) di Betlehem yang menandakan tempat kelahiran Kristus menurut tradisi. Tetapi bagi Annie Dillard, dia berpendapat bahawa Tuhan jauh lebih besar berbanding tempat itu. 

Walaupun demikian, tempat-tempat seperti ini selalunya mempunyai maksud penting dalam kisah-kisah kepercayaan kita. Tempat lain yang serupa disebutkan dalam perbualan antara Yesus dengan seorang wanita di tepi perigi, gunung yang “nenek moyang [mereka] menyembah” (Yohanes 4:20), merujuk kepada Gunung Gerizim (lihat Ulangan 11:29). Tempat tersebut dianggap suci bagi orang Samaria, yang menentang pernyataan orang Yahudi bahawa “hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah” (ayat 20). Di situ, Yesus menyatakan akan tiba masanya penyembahan Tuhan tidak lagi terhad pada satu tempat, melainkan terus menyembah Tuhan: “Dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar” (ayat 23). Wanita itu menyatakan kepercayaannya kepada Mesias (Penyelamat), tetapi dia tidak menyedari bahawa dia sedang bercakap dengan-Nya. Kemudian, “Yesus menjawab, ‘Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu’ ” (ayat 26).

Tuhan tidak terbatas kepada mana-mana gunung atau ruang fizikal. Dia hadir bersama dengan kita di setiap tempat. Penyembahan yang benar adalah menghampiri takhta-Nya setiap hari dan berkata dengan berani, “Bapa kami”. Dia pasti ada di situ.