Ketika Emma berkongsi bahawa Tuhan menolong dia menerima identitinya sebagai anak yang dikasihi Tuhan, dia menyelitkan ayat-ayat Alkitab dalam perbualan kami. Entah bagaimana pelajar sekolah menengah itu berhenti mengucapkan kata-katanya sendiri dan mula memetik ayat-ayat dalam Alkitab. Ketika saya memujinya kerana pengetahuannya tentang Alkitab, alisnya mulai berkerut. Dia secara semula jadi menyebut ayat-ayat Alkitab itu. Melalui pembacaan Alkitab setiap hari, hikmat yang terkandung dalam Alkitab menjadi sebati dengan percakapan harian Emma. Dia bersukacita dalam Tuhan dan menikmati setiap kesempatan yang diberikan-Nya untuk berkongsi kebenaran-Nya kepada orang lain. Tetapi Emma bukanlah pemudi pertama yang dipakai Tuhan untuk memberi inspirasi kepada orang lain supaya tekun membaca, menghafal dan menerapkan ayat-ayat Alkitab dalam kehidupan.

Ketika rasul Paulus mendorong Timotius menjadi pemimpin, dia menunjukkan keyakinan terhadap pemuda ini (1 Timotius 4:11-16). Paulus tahu bahawa Timotius mempelajari firman Tuhan sejak kecil (2 Timotius 3:15). Seperti Paulus, Timotius juga menghadapi tentangan kerana ada orang meragui kelayakan Timotius. Namun begitu, mereka tetap menjalani kehidupan seharian dengan kepercayaan bahawa segala firman “diilhami oleh Allah.” Mereka mengetahui bahawa Alkitab “berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik” (2 Timotius 3:16–17).

Apabila kita menyimpan hikmat Tuhan dalam hati kita, kebenaran dan kasih-Nya dapat mengalir dalam perbualan harian kita secara semula jadi. Kita boleh berkongsi harapan Tuhan yang kekal daripada firman-Nya ke mana sahaja kita pergi.