Kadangkala kehendak Tuhan sukar ditaati. Dia meminta kita mengambil tindakan yang betul. Dia memanggil kita menanggung kesusahan tanpa mengeluh; mengasihi orang yang sukar dikasihi; menuruti suara hati kita yang mengatakan, “Jangan lakukan ini”; melakukan sesuatu yang kita tidak suka. Oleh itu, kita harus memberitahu jiwa kita sepanjang hari: “Hai jiwaku, dengarkanlah. Diamkan diri: Lakukan apa yang dikehendaki Yesus.”

“Jiwaku senyap hening menantikan Allah” (Mazmur 62:1, AVB). “Jiwaku, senyap heninglah menantikan Allah sahaja” (62:5, AVB). Ayat-ayat ini nampak serupa, tetapi berbeza. Daud mengatakan sesuatu mengenai jiwanya; kemudian berkata sesuatu kepada jiwanya. Ayat “senyap hening menantikan” menunjukkan satu keputusan, keadaan fikiran yang senyap hening. Jadi, “senyap heninglah menantikan Allah” dikatakan Daud apabila dia menegur jiwanya untuk mengingati keputusan itu.

Daud bertekad untuk berdiam diri dan tunduk kepada kehendak Tuhan. Ini juga merupakan panggilan hidup kita, dan kita dicipta untuk melakukannya. Kita akan berasa damai ketika kita setuju melakukan kehendak-Nya: “janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah” (Lukas 22:42). Inilah panggilan pertama dan terutama kita apabila kita menjadikan Dia sebagai Tuhan dan sumber sukacita kita. “Aku suka melakukan kehendak-Mu,” kata pemazmur (Mazmur 40:9).

Kita harus selalu memohon pertolongan Tuhan kerana “harapanku terletak pada-Nya” (62:5, AVB). Apabila kita berseru kepada-Nya, Dia akan menolong kita. Tuhan tidak pernah meminta kita melakukan sesuatu yang tidak akan atau tidak dapat dilakukan-Nya.