Seneca ialah seorang ahli falsafah yang hebat pada zaman Roma kuno (4 SM-65 M), dia pernah dituduh berzina oleh permaisuri Messalina. Setelah Senat menjatuhkan hukuman mati ke atas Seneca, Maharaja Claudius sebaliknya membuang dia ke negeri Corsica, mungkin kerana dia mengesyaki tuduhan terhadap Seneca adalah palsu. Penangguhan hukuman itu telah mengubah pemahaman Seneca terhadap kesyukuran ketika dia menulis: “pembunuh, orang zalim, pencuri, penzina, perompak, pencabul dan pengkhianat akan sentiasa ada, tetapi apa yang lebih teruk daripada semua jenayah ini adalah tidak tahu bersyukur.”

Rasul Paulus yang hidup sezaman dengan Seneca mungkin bersetuju dengan kenyataan ini. Dalam Roma 1:21, dia menulis bahawa salah satu punca kejatuhan umat manusia adalah mereka enggan bersyukur kepada Tuhan. Semasa menulis surat kepada jemaah di Kolose, sebanyak 3 kali Paulus mencabar orang-orang yang percaya kepada Kristus untuk bersyukur. Dia mengatakan hati kita harus “penuh kesyukuran” (Kolose 2:7). Ketika kita membiarkan kedamaian Tuhan “menguasai [hati kita],” kita harus bersyukur (3:15, AVB). Ucapan syukur seharusnya menjadi ciri doa kita (4:2).

Kebaikan Tuhan yang besar mengingatkan kita tentang salah satu realiti hidup yang luar biasa. Tuhan bukan hanya layak untuk mendapat kasih dan penyembahan kita, malahan layak untuk menerima kesyukuran kita. Segala yang baik dalam hidup datangnya daripada Dia (Yakobus 1:17).

Dengan segala yang telah kita terima dalam Kristus, rasa syukur seharusnya menjadi sebahagian norma hidup kita, seperti bernafas. Semoga kita membalas pemberian Tuhan dengan menyatakan rasa syukur kita kepada-Nya.