Diet Eman ialah seorang wanita muda yang biasa, pemalu, dan menetap di Belanda. Dia mempunyai teman lelaki, kerjaya, dan menikmati waktu bersama dengan keluarga dan rakan-rakannya, ketika tentera Jerman menyerang pada tahun 1940. Diet (disebut sebagai Deet) kemudian menulis, “Apabila berlakunya bahaya di depan pintu rumah, kamu akan terasa bertindak seperti burung unta yang membenamkan kepalanya dalam pasir.” Tetapi Diet berasa Tuhan memanggilnya untuk menentang penindasan tentera Jerman. Ini bermaksud dia perlu mempertaruhkan nyawanya untuk mencari tempat persembunyian bagi orang Yahudi dan orang lain. Wanita muda yang biasa ini menjadi pejuang bagi Tuhan.
Kita menjumpai banyak kisah dalam Alkitab yang serupa dengan cerita Diet, kisah-kisah tentang Tuhan memakai orang yang nampaknya tidak mungkin melayani Dia. Contohnya, ketika malaikat Tuhan menghampiri Gideon, dia berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani” (Hakim-Hakim 6:12). Namun, Gideon bukan orang yang gagah perkasa. Dia secara sembunyi-sembunyi mengirik gandum di tempat yang jauh daripada orang Midian yang menakluki orang Israel dengan zalim pada masa itu (ayat 1-6, 11). Dia berasal daripada suku Israel yang paling lemah (Manasye) dan orang yang “paling tidak penting” dalam keluarganya (ayat 15). Dia berasa tidak layak untuk menyahut panggilan Tuhan malah meminta beberapa bukti bagi perintah itu. Tetapi Tuhan tetap memakainya untuk mengalahkan orang Midian yang kejam (lihat fasal 7).
Tuhan melihat Gideon sebagai “pahlawan yang gagah.” Sebagaimana Tuhan menyertai dan melengkapi Gideon, demikian juga kita selaku “anak-anak Allah yang dikasihi-Nya” (Efesus 5:1). Dia membekalkan semua yang kita perlukan untuk hidup dan melayani-Nya dengan cara yang kecil mahupun yang besar.
ILHAM
Hakim-Hakim 6 mengikut satu pola yang biasa dilihat dalam kitab itu—kejahatan Israel yang mengakibatkan penindasan, diikuti dengan Israel merayu kepada Tuhan, dan Tuhan menjawab doa mereka dengan memberikan pembebasan. Hakim-Hakim 6 adalah berbeza dengan “pola” ini, ia menyatakan kejahatan dan penderitaan Israel bertambah serius. Dalam Hakim-Hakim 4, setelah orang Israel berseru untuk pertolongan Tuhan, Debora mengambil tindakan dengan serta-merta. Bagaimanapun, dalam fasal 6, setelah penjelasan panjang mengenai penindasan orang Midian (ayat 2-6), Tuhan menjawab rayuan Israel yang berseru untuk pembebasan dengan menegur mereka terlebih dahulu (ayat 7-10).Gideon muncul sebagai hakim yang enggan, kisahnya agak sama dengan pengutusan Musa. Kedua-duanya kekurangan keyakinan dalam keupayaan mereka untuk menjadi wakil Tuhan, tetapi Tuhan memerintahkan dan mengutus mereka (Keluaran 3:10; Hakim-Hakim 6:14). Kedua-duanya diberikan bukti kehadiran Tuhan dan janji bahawa Tuhan menyertai mereka (Keluaran 3:12; 4:1-9; Hakim-Hakim 6:16-23).