Semasa rakan saya meneliti gambarnya yang saya ambil, dia menunjukkan ciri-ciri fizikal yang dianggapnya tidak sempurna. Tetapi saya memintanya untuk melihat lebih teliti, “Aku melihat seorang puteri yang cantik dan disayangi Raja Segala Raja yang agung. Aku juga melihat seorang yang mengasihi Tuhan, berbelas kasihan terhadap orang lain, sentiasa menunjukkan kebaikan, kemurahan hati dan kesetiaan yang tulen, dan membawa perubahan kepada kehidupan ramai orang.” Ketika melihat air mata membasahi matanya, saya pun berkata, “Aku rasa anda layak memakai sebuah tiara!” Kemudian pada petang itu, kami memilih tiara yang sesuai untuknya agar dia tidak akan melupakan identiti dirinya yang sebenar.

Ketika kita mengenal Yesus secara peribadi, Dia memahkotai kita dengan kasih dan memanggil kita anak-anak-Nya (1 Yohanes 3:1). Dia memberi kita kekuatan untuk berpegang teguh pada iman sehingga “kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian. Kita tidak perlu bersembunyi kerana malu” (2:28). Walaupun Dia menerima kita seadanya, kasih-Nya menyucikan kita dan mengubah kita menjadi serupa dengan Dia (3:2-3). Dia menolong kita menyedari bahawa kita memerlukan-Nya dan kita perlu bertaubat supaya kita bersukacita dalam kuasa yang memampukan kita berpaling daripada dosa (ayat 7-9). Kita dapat hidup dalam ketaatan dan kasih setia (ayat 10), dengan menyimpan kebenaran-Nya dalam hati kita dan Roh-Nya hadir dalam kehidupan kita.

Rakan saya sebenarnya tidak memerlukan tiara atau barang-barang perhiasan lain pada hari itu. Tetapi kami berdua perlu diingatkan tentang nilai kita sebagai anak-anak yang sangat dikasihi Tuhan.