Pada tahun 2019 sempena majlis penamatan pelajaran di sekolah menengah, seramai 608 pelajar bersedia untuk menerima sijil. Pengetua mula meminta para pelajar berdiri ketika dia menyebut nama negara kelahiran mereka: Afghanistan, Bolivia, Bosnia … Pengetua terus membaca sehingga selesai menyebut 60 buah negara dan setiap pelajar pun berdiri diiringi sorakan. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada 60 buah negara, tetapi belajar di sekolah menengah yang sama.

Keindahan perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian merupakan gambaran yang diperhatikan Tuhan, iaitu orang-orang yang hidup bersama dalam kesatuan.

Kita didorong untuk bersatu sebagai umat Tuhan dalam Mazmur 133. Ia merupakan sebuah mazmur ziarah, iaitu lagu yang dinyanyikan ketika orang memasuki Yerusalem sempena perayaan tahunan. Mazmur ini mengingatkan umat Tuhan tentang manfaat untuk hidup dengan harmoni (ayat 1), walaupun terdapat perbezaan yang boleh menyebabkan perpecahan. Dengan huraian yang jelas, kesatuan digambarkan seperti embun yang menyegarkan (ayat 3) dan minyak yang digunakan untuk mengurapi para imam (Keluaran 29:7) yang “dituangkan ke atas kepala”, janggut, dan jubah seorang imam (ayat 2). Gambaran ini menunjukkan satu kenyataan bahawa berkat Tuhan akan mengalir dalam kelimpahan apabila kita hidup bersatu.

Bagi orang yang percaya kepada Yesus, walaupun terdapat perbezaan seperti etnik, kewarganegaraan atau usia, ada kesatuan yang kuat dalam Roh Tuhan (Efesus 4:3). Ketika kita bersatu dan meraikan hubungan rapat dalam Yesus yang memimpin kita, kita dapat saling menerima perbezaan dan meraikan kesatuan sejati yang diberikan Tuhan.