“Jangan sekali-kali mempercayai sesiapa yang berusia lebih daripada 30 tahun,” kata Jack Weinberg, seorang pencinta alam sekitar yang muda pada tahun 1964. Komennya bersifat stereotaip tentang seluruh generasi, dan dia kesal berkata demikian pada masa kemudian. Ketika mengingat kembali masa itu, dia berkata, “Aku berkata sesuatu tanpa berfikir … akibatnya ia diputarbelitkan dan disalahfahamkan.”
Pernahkah anda mendengar kata-kata yang mengecil-ngecilkan golongan milenium? Atau sebaliknya? Fikiran buruk yang ditujukan daripada satu generasi kepada generasi yang lain melukai kedua-dua pihak. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Walaupun Hizkia merupakan seorang raja yang cemerlang, dia menunjukkan sikapnya yang kurang prihatin terhadap generasi yang akan datang. Sewaktu dia masih muda, Hizkia sakit tenat (2 Raja-Raja 20:1). Maka dia berseru kepada Tuhan untuk menyembuhkannya (ayat 2-3), dan Tuhan menambah usianya selama 15 tahun lagi (ayat 6).
Tetapi ketika Hizkia mendapat khabar buruk bahawa anak-anaknya akan ditawan oleh musuh suatu hari, dia tidak menampakkan sebarang kesedihan tentang perkara itu (ayat 16-18). Dia berfikir, “selama hidup baginda, kerajaan baginda akan aman dan damai” (ayat 19). Mungkin Hizkia tidak mengambil berat tentang kesejahteraan generasi yang seterusnya.
Tuhan memanggil kita memiliki kasih yang sanggup merentasi batas-batas yang memisahkan kita. Generasi lebih tua memerlukan kreativiti dan idea-idea baharu daripada generasi muda. Generasi muda pula dapat menerima manfaat daripada hikmat dan pengalaman generasi yang terdahulu. Sekarang bukanlah masa untuk membuat komen dan slogan yang penuh sindiran, tetapi masa untuk saling bertukar idea. Kita harus bekerjasama.