Disebabkan terikat dengan pekerjaan yang sangat membebankan akibat waktu kerja yang panjang dan majikan yang tidak bertimbang rasa, James berharap dia dapat berhenti kerja. Tetapi dia perlu membayar gadai janji rumah serta menyara isteri dan anaknya yang masih kecil. Dia sangat tergoda untuk meletak jawatan tetapi isterinya mengingatkannya: “Mari kita bertahan dahulu dan lihat apa yang akan diberikan Tuhan kepada kita.”

Beberapa bulan kemudian, doa mereka dijawab Tuhan. James mendapat pekerjaan baharu yang dinikmatinya dan dapat meluang lebih banyak masa dengan keluarga. “Lamanya masa menunggu selama berbulan-bulan itu,” katanya kepada saya, “tetapi aku gembira kerana aku telah menunggu rancangan Tuhan dinyatakan menurut waktu-Nya.”

Menunggu pertolongan Tuhan di tengah-tengah masalah adalah sukar. Kita akan tergoda untuk cuba mencari penyelesaian menurut cara kita sendiri terlebih dahulu. Orang Israel pernah berbuat demikian. Sewaktu menghadapi ancaman musuh, mereka meminta pertolongan daripada Mesir dan bukannya mencari Tuhan (Yesaya 30:2). Oleh itu, Tuhan memberitahu mereka: jika mereka bertaubat dan meletakkan kepercayaan kepada-Nya, mereka akan mendapat kekuatan dan keselamatan (ayat 15). Malah, Dia menambah, “TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu” (ayat 18).

Menunggu pertolongan Tuhan menuntut iman dan kesabaran kita. Tetapi akhirnya apabila kita melihat jawapan-Nya, kita akan menyedari bahawa semua penantian adalah sangat berbaloi: “Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN!” (ayat 18). Apa yang lebih menakjubkan ialah Tuhan sebenarnya sedang menunggu kita datang kepada-Nya!