Beethoven berasa marah. Dia bermaksud untuk menamakan gubahannya, Simfoni Ketiga sebagai “Bonaparte.” Pada era kezaliman agama dan politik, dia menyanjung Napoleon Bonaparte sebagai pahlawan rakyat dan pejuang kebebasan. Tetapi ketika jeneral Perancis itu memahkotai dirinya sebagai maharaja, komposer terkenal itu berubah fikiran. Dia mengecam bekas pahlawannya sebagai bangsat dan penzalim, malah dia memadamkan nama Bonaparte dengan keras sehingga ada lubang pada skor muzik asal.

Orang-orang percaya zaman awal pasti berasa kecewa ketika harapan mereka terhadap reformasi politik dimusnahkan. Yesus membangkitkan harapan bangsa Israel untuk hidup bebas daripada kezaliman, pembayaran cukai yang berat kepada Kaisar, dan pemerintahan tentera. Akan tetapi beberapa dekad kemudian, Roma masih memerintah dunia masa itu. Pembawa berita Injil Yesus dilanda ketakutan dan kelemahan. Para pengikut-Nya tidak matang secara rohani dan saling bertengkar (1 Korintus 1:11-12; 3:1-3).

Tetapi Paulus dapat melihat sesuatu yang kekal benar. Suratnya bermula, berakhir dan melimpah dengan nama Kristus. Kristus dibangkitkan. Kristus berjanji untuk kembali berkuasa dan memerintah. Kristus akan menghakimi segala sesuatu dan semua orang. Bagaimanapun, yang terpentingnya, Paulus mahu iman setiap orang yang percaya kepada Yesus berasaskan makna dan implikasi penyaliban Kristus (2:2; 13:1-13).

Kasih yang dinyatakan dalam pengorbanan Yesus menjadikan Dia pemimpin yang berbeza. Sebagai Tuhan dan Penyelamat dunia, kayu salib-Nya mengubah segala-galanya. Nama Yesus akan selamanya dikenali dan dipuji di atas segala nama.