Ketika saya berhenti untuk melihat-lihat sekotak buku yang bertanda “C.S. Lewis” di sebuah kedai buku terpakai, pemilik kedai itu muncul. Sewaktu kami berbual-bual mengenai tajuk buku yang ada, saya tertanya-tanya jika dia mungkin berminat dengan iman yang mengilhami banyak karya penulisan Lewis. Saya berdoa dengan senyap untuk memohon pimpinan Tuhan. Saya teringat akan maklumat tentang biografi Lewis, dan kami mula membincangkan bagaimana C. S. Lewis percaya kepada Tuhan. Akhirnya, saya bersyukur kerana doa singkat tadi telah membuka perbualan kami tentang hal-hal kerohanian.
Nehemia berhenti sejenak untuk berdoa sebelum dia mengadakan perbualan yang penting dengan Raja Artahsasta di Persia. Raja bertanya bagaimana dia dapat menolong Nehemia yang berasa sedih kerana kemusnahan Yerusalem. Nehemia adalah hamba raja, maka dia tidak berhak untuk meminta bantuan raja. Tetapi kini dia memerlukan bantuan yang besar. Dia mahu membina semula Yerusalem. Maka dia “berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga” sebelum meminta kebenaran untuk pulang agar dia dapat membina semula kota itu (Nehemia 2:4-5). Raja mengabulkan permintaannya dan bersetuju untuk membantu Nehemia mengatur perjalanannya serta mendapatkan bekalan kayu untuk projek tersebut.
Alkitab mendorong kita agar “lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Allah” (Efesus 6:18). Ini termasuk pada waktu kita memerlukan keberanian, pengawalan diri atau kepekaan. Berdoa sebelum bercakap dapat menolong kita membiarkan Tuhan berkuasa ke atas sikap dan kata-kata kita.
Bagaimanakah Tuhan mengubah kata-kata anda pada hari ini? Doalah kepada-Nya, dan ketahuilah jawapan-Nya!
ILHAM
Sebagai pengurus minuman raja, Nehemia memegang pangkat penting di dalam istana Artahsasta. Pengurus minuman raja “ditugaskan untuk merasa wain raja (untuk mengelakkan keracunan) dan menjaga ruang-ruang istana” dan merupakan salah seorang “yang paling dipercayai antara para pegawai [yang] amat berpengaruh terhadap tuan mereka” (Mark Throntveit, Ezra-Nehemiah). Ia bukan perkara yang luar biasa bagi orang Israel yang dihukum buang untuk memegang pangkat-pangkat penting. Daniel menjadi penguasa wilayah Babel (Daniel 2:48-49); dan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjadi pentadbir wilayah Babel (Daniel 3:12).Dalam Nehemia 2:1-8, Artahsasta bertanya Nehemia tiga soalan. Sebelum Nehemia menjawab dua soalan yang pertama, dia menghuraikan emosinya. Dalam ayat 2, dia berkata, “Aku terperanjat.” Dalam ayat 4, dia “berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga.” Kemudian dalam ayat 6, dia cukup berani untuk memberikan jawapan. Ini menunjukkan perkembangan pemikirannya.