Jia Haixia kehilangan penglihatannya pada tahun 2000. Rakannya Jia Wenqi kehilangan kedua-dua tangannya sewaktu masih kanak-kanak. Tetapi mereka telah menemukan cara untuk menangani keadaan mereka yang kurang upaya. “Aku tangannya dan dia mataku,” kata Haixia. Mereka bersama-sama membawa perubahan kepada kampung mereka di negara China.”

Sejak tahun 2002, dua sahabat ini menjalankan misi penanaman semula di kawasan terbiar yang luas berhampiran rumah mereka. Setiap hari, Haixia memanjat belakang Wenqi untuk menyeberangi sungai ke kawasan penanaman. Kemudian Wenqi “menghulurkan” penyodok kepada Haixia dengan kakinya sebelum Haixia meletakkan baldi pada sebatang kayu antara pipi dan bahu Wenqi. Seorang menggali lubang dan seorang lagi menyiram. Dengan cara ini mereka telah berjaya menanam lebih daripada 10,000 batang pokok. “Kami bekerjasama. Kami sama sekali tidak berasa kurang upaya,” kata Haixia. “Kami adalah satu pasukan.”

Rasul Paulus mengibaratkan jemaah sebagai tubuh manusia, bahawa setiap bahagian tubuh memerlukan bahagian yang lain untuk berfungsi. Jika jemaah itu semua mata, tidak akan ada pendengaran; jika semua telinga, tidak ada rasa bau (1 Korintus 12:14-17). “Mata tidak boleh berkata kepada tangan, ‘Aku tidak memerlukan kamu!’ ” kata Paulus (ayat 21). Setiap kita memainkan peranan dalam gereja berdasarkan kurnia rohani kita (ayat 7-11, 18). Seperti Jia Haixia dan Jia Wenqi, apabila kita menggabungkan kekuatan kita, kita boleh membawa perubahan kepada dunia.

Dua lelaki itu menggabungkan kebolehan mereka untuk memulihkan sebuah kawasan tanah yang terbiar. Apatah lagi apa yang akan tercapai oleh jemaah yang bertindak bersama!