Ketika memasuki kedai aiskrim dengan anak lelaki kacukan saya yang berumur 5 tahun, juruwang lelaki di kaunter melirik saya dan merenung anak saya sambil bertanya “Bangsa apa kamu?”

Pertanyaan dan nada kerasnya mencetuskan kembali kemarahan serta kesakitan hati yang saya sering alami sewaktu membesar sebagai orang kacukan Mexico-Amerika yang “tidak menurut” tanggapan stereotaip orang ramai. Saya menarik anak saya, Xavier, ke sisi saya dan menoleh ke arah suami saya yang berkulit hitam ketika dia memasuki kedai. Setelah mengesan pandangan marah saya, juruwang itu pun mengira pesanan kami dengan senyap.

Saya mendoakan lelaki itu dengan senyap sementara anak saya menyenaraikan perisa aiskrim yang mahu dicubanya. Saya bertaubat kerana kepahitan dalam hati saya dan memohon agar Tuhan memberikan saya roh yang mengampuni. Disebabkan warna kulit saya yang cerah tetapi tidak putih, saya sering menjadi sasaran jelingan diiringi dengan pertanyaan yang sama selama ini. Saya telah bergelut dengan perasaan tidak yakin akan diri sendiri dan tidak berguna, sehinggalah saya mula belajar bagaimana menerima identiti saya sebagai anak perempuan yang dikasihi Tuhan.

Rasul Paulus mengisytiharkan bahawa orang-orang yang beriman kepada Yesus adalah “anak-anak Allah” yang turut dihargai dan mempunyai kepelbagaian yang indah. Kita berhubungan rapat dan direka secara khas untuk bekerjasama (Galatia 3:26-29). Ketika Tuhan mengutus Anak-Nya untuk menebus kita, kita menjadi keluarga melalui darah-Nya yang tercurah di kayu salib untuk pengampunan dosa-dosa kita (4:4-7). Sebagai pembawa gambaran Tuhan, nilai kita tidak dapat ditentukan oleh pendapat, jangkaan atau sikap berat sebelah orang lain terhadap kita.

Siapakah kita ini? Kita ialah anak-anak Tuhan.