Semasa Perang Dunia ke-II, Waldemar Semenov berkhidmat sebagai seorang jurutera muda dalam kapal wap Alcoa Guide—ketika jaraknya sejauh 483 kilometer dari pantai Carolina Utara—sebuah kapal selam Jerman timbul dan melepaskan tembakan. Kapal wap mereka terkena tembakan, terbakar dan mula karam. Semenov dan anak-anak kapal lain pun menurunkan bot keselamatan ke dalam laut dan menggunakan kompas bot untuk belayar menuju ke arah laluan kapal. Selepas 3 hari, sebuah kapal terbang peronda mengesan bot keselamatan itu dan Kapal Amerika Syarikat, Broome datang menyelamatkan orang-orang itu pada keesokan harinya. Syukurlah kerana kompas itu, Semenov dan 26 anak kapal yang lain telah berjaya diselamatkan.
Pemazmur mengingatkan umat Tuhan bahawa mereka dilengkapi dengan kompas kehidupan, iaitu Alkitab. Dia menggambarkan Alkitab sebagai “pelita” (Mazmur 119:105) yang memberikan cahaya untuk menerangi jalan hidup bagi mereka yang mencari Tuhan. Ketika pemazmur hanyut di lautan kehidupan yang bergelora, dia tahu Tuhan dapat menggunakan Alkitab untuk menunjukkan longitud (garisan bujur) dan latitud (garisan lintang) secara rohani untuk menyelamatkannya. Oleh itu, dia berdoa agar Tuhan memberikan cahaya-Nya untuk membimbing hidupnya dan membawanya dengan selamat ke pelabuhan yang ada kehadiran-Nya yang kudus (Mazmur 43:3)
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, ketika kita sesat jalan, Tuhan dapat membimbing kita dengan Roh Kudus dan petunjuk dalam Alkitab. Semoga Tuhan mengubah hati dan fikiran kita ketika kita membaca Alkitab, mempelajarinya, dan mengikuti hikmat yang terkandung dalamnya.
ILHAM
Mazmur 119 merupakan puisi akrostik yang menggunakan 22 abjad Ibrani secara berurutan. Setiap baris dalam rangkap pertama (ayat 1-8) bermula dengan huruf pertama “Aleph”; ayat 9-16 bermula dengan “Beth”, huruf kedua; dan seterusnya. Pola ini telah digunakan sebagai satu alat untuk menghafal puisi itu.Dalam bacaan kita hari ini (ayat 105-112), setiap baris bermula dengan Nun. Walaupun pemazmur itu dihina dan diancam disebabkan mempercayai perintah Tuhan, dia tidak gentar tetapi memutuskan untuk mengenal Tuhan dan mematuhi perintah-Nya dengan azam yang teguh. Di tengah-tengah kesusahan dan bahaya kehidupan, dia mengesahkan bahawa Alkitab adalah jaminannya—lampu yang menerangi jalan Tuhan dan cahaya yang memberikan bimbingan mengenai cara untuk bertindak balas kepada kenyataan hidup yang gelap. Penulis itu percaya bahawa Taurat Tuhan akan memperbaharui dan menguatkannya (ayat 107) kerana perintah Tuhan adalah pusakanya dan kesukaan hatinya (ayat 111).