Ketika virus korona mula merebak ke seluruh dunia, para pakar kesihatan menasihati semua orang perlu mengamalkan penjarakan fizikal antara satu sama lain sebagai cara untuk mengurangkan jangkitan dan penyebaran. Banyak negara meminta rakyat mereka mengkuarantin diri atau elakkan keluar. Banyak organisasi menyuruh pekerjanya bekerja dari rumah jika boleh, manakala ada juga yang menderita kerana masalah kewangan akibat kehilangan pekerjaan. Seperti orang lain, saya menghadiri kebaktian gereja dan perjumpaan kumpulan sel secara digital. Di seluruh dunia, kita mengamalkan bentuk kebersamaan yang baharu walaupun terpisah secara fizikal.

Internet bukanlah satu-satunya cara yang membolehkan kita mengekalkan hubungan. Kita saling berhubung sebagai anggota tubuh Kristus melalui Roh Kudus. Paulus menyatakan tanggapan ini berabad-abad yang lalu dalam suratnya kepada orang-orang percaya di Kolose. Walaupun dia sendiri bukan orang yang menubuhkan gereja mereka, dia memprihatinkan mereka dan iman mereka. Walaupun Paulus tidak dapat bersama dengan mereka secara fizikal, dia mengingatkan mereka bahawa dia hadir bersama-sama mereka dalam roh (Kolose 2:5).

Kita tidak akan sentiasa dapat bersama dengan orang-orang yang kita sayangi jika berlakunya masalah kewangan, kesihatan atau sebab-sebab lain, namun teknologi dapat membantu mengisi jurang tersebut. Akan tetapi apa pun bentuk perhubungan secara maya, semua itu menjadi lemah jika dibandingkan dengan “kebersamaan” yang dapat kita alami sebagai anggota tubuh Kristus (1 Korintus 12:27). Pada saat-saat sedemikian, seperti Paulus, kita dapat bersukacita dan berteguh iman dengan saudara-saudara Kristian kita, dan melalui doa kita dapat saling mendorong untuk “mengenal rahsia Allah, iaitu Kristus sendiri” sepenuhnya (Kolose 2:2).