Rakan saya, Bill menggambarkan Gerard, seorang kenalannya, sebagai “orang yang sudah lama menjauhi Tuhan.” Tetapi suatu hari, setelah Bill bertemu dengan Gerard dan menjelaskan kepadanya bahawa Tuhan telah menyediakan rancangan penyelamatan untuk kita dengan penuh kasih, Gerard pun percaya kepada Yesus. Dengan linangan air mata, dia bertaubat dan menyerahkan hidupnya kepada Kristus. Selepas itu, Bill bertanya kepada Gerard tentang perasaannya. Sambil menyeka air mata, dia hanya menjawab, “Dibersihkan.”
Inilah respons yang luar biasa! Itulah hakikat keselamatan yang dimungkinkan dengan percaya kepada pengorbanan Yesus untuk kita di kayu salib. Dalam 1 Korintus 6, setelah Paulus memberikan contoh bagaimana ketidaktaatan terhadap Tuhan menyebabkan perpisahan daripada-Nya, “Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenar dengan nama Tuhan Yesus Kristus dan dengan Roh Allah kita” (ayat 11, AVB). “Dibersihkan,” “dikuduskan,” “diperbenar”—itulah kata-kata yang menunjukkan orang percaya diampuni dan berdamai dengan-Nya.
Titus 3:4–5 memberitahu kita lebih banyak mengenai perkara ajaib ini yang disebut keselamatan. “Tetapi Allah, Penyelamat kita … menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita.” Dosa kita menjauhkan kita daripada Tuhan, tetapi dengan percaya kepada Yesus, hukuman dosa dihapuskan. Kita menjadi manusia baru (2 Korintus 5:17), dapat datang ke hadirat Bapa (Efesus 2:18), dan menjadi bersih (1 Yohanes 1:7). Dia sendiri yang menyediakan apa yang kita perlukan untuk dibersihkan.