Sejak berlakunya virus Korona, untuk mengambil sesuatu daripada peti deposit keselamatan di bank, ada banyak protokol yang saya perlu lalui berbanding sebelumnya. Sekarang saya harus membuat janji temu, menelefon ketika saya tiba untuk dibenarkan masuk ke bank, menunjukkan kad pengenalan diri dan tandatangan, kemudian menunggu seorang pegawai bank mengiringi saya pergi ke bilik kebal. Sebaik sahaja saya masuk, pintu bilik itu dikunci lagi sehingga saya mendapatkan apa yang diperlukan di dalam kotak logam. Hanya dengan mematuhi arahan, barulah saya boleh masuk ke bilik itu.

Dalam Perjanjian Lama, Tuhan menetapkan protokol khusus untuk memasuki bahagian Khemah TUHAN yang disebut Bilik Maha Suci (Keluaran 26:33). Di sebalik tirai khas, yang “memisahkan Bilik Suci dari Bilik Maha Suci,” hanya Imam Agung yang dapat masuk sekali setahun (Ibrani 9:7). Harun dan para imam agung yang lain harus membawa korban persembahan, mandi, dan memakai pakaian suci sebelum masuk (Imamat 16:3–4). Peraturan-peraturan Tuhan bukan untuk alasan kesihatan atau keselamatan; ia bertujuan untuk mengajar orang Israel tentang kekudusan Tuhan dan keperluan kita untuk meminta pengampunan-Nya.

Pada saat kematian Yesus, tirai khas itu koyak (Matius 27:51), secara simbolik menunjukkan bahawa semua orang yang percaya kepada pengorbanan-Nya demi pengampunan dosa manusia dapat memasuki hadirat Tuhan. Tirai di Rumah Tuhan yang koyak itu membuatkan kita dapat bersukacita sampai selama-lamanya—Yesus telah memungkinkan kita selalu mendekati Tuhan!