Pada awal 1960-an, Amerika Syarikat penuh dengan harapan terhadap masa depan yang cerah. Presiden muda, John F. Kennedy memperkenalkan New Frontier (Batas Baru), Kor Keamanan, dan tugas pendaratan di bulan. Ekonomi yang maju menyebabkan ramai orang mengharapkan masa depan yang senang. Namun peperangan tercetus di Vietnam, pergolakan di seluruh negara terjadi, Kennedy dibunuh, dan norma-norma yang sebelumnya diterima oleh masyarakat optimis itu lenyap. Fikiran optimistik (fikiran positif) tidak cukup, kerana kekecewaan menyusuli selepasnya.

Kemudian pada tahun 1967, Teologi Harapan oleh Jürgen Moltmann menunjukkan pandangan yang lebih jelas. Jalan hidup ini bukan jalan optimistik, tetapi jalan harapan. Kedua-duanya adalah tidak sama. Moltmann menegaskan bahawa optimisme adalah berdasarkan keadaan semasa, tetapi harapan adalah berakarkan kesetiaan Tuhan—walau apa pun keadaan kita.

Apakah sumber harapan ini? Petrus menulis, “Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru, dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Hal ini memberikan harapan yang kukuh kepada kita” (1 Petrus 1:3). Tuhan kita yang setia telah menaklukkan kematian melalui Anak-Nya, Yesus! Kenyataan kemenangan terbesar ini menjadikan kita bukan sekadar optimistik, tetapi memberi kita harapan yang kuat dan teguh setiap hari dan dalam setiap keadaan.