Kotak kecil segi empat berwarna merah itu ajaib. Sebagai kanak-kanak, saya dapat bermain dengannya selama berjam-jam. Apabila saya memusing tombol kotak, saya dapat membuat garis mendatar di skrinnya. Apabila putar tombol lain, garis menegak akan muncul. Semasa saya memutarkan tombol secara serentak, saya dapat membuat garis serong, bulatan dan reka bentuk kreatif. Tetapi kejutan sebenarnya terjadi apabila saya menterbalikkan skrin, menggoyangkannya sedikit dan mengembalikannya ke asal. Skrin itu akan menjadi bersih, dan saya boleh membuat reka bentuk baru.
Pengampunan Tuhan terjadi seperti alat melukis ini. Dia menghapus dosa kita, menghasilkan kanvas yang bersih untuk kita. Walaupun kita mengingati kesalahan yang kita lakukan, Tuhan memilih untuk mengampuni dan melupakannya. Dia menghapuskan dosa kita dan tidak menghukum kita. Dia tidak memperlakukan kita setimpal dengan tindakan kita yang berdosa (Mazmur 103:10) tetapi mengurniai kita rahmat melalui pengampunan-Nya. Kita dibersihkan—dan memiliki kehidupan baru ketika kita meminta pengampunan Tuhan. Kita dapat menghilangkan rasa bersalah dan malu kerana kurnia-Nya yang luar biasa bagi kita.
Pemazmur mengingatkan kita bahawa dosa kita telah dibuang daripada kita sejauh timur dari barat (ayat 12). Di mata Tuhan, dosa kita tidak lagi menghantui kita dengan rasa bersalah. Itulah alasan untuk bersukacita dan bersyukur kepada Tuhan atas rahmat dan belas kasihan-Nya yang luar biasa.