“BEBASKAN DIRI.” Papan iklan besar itu menunjukkan faedah menikmati tab mandi panas. Ini menarik perhatian saya dan membuat saya berfikir. Saya dan isteri telah merancang untuk mendapatkan sebuah tab mandi panas. Bayangkan kami sedang bercuti di halaman belakang rumah! Apabila memikirkan hal pembersihan, bil elektrik dan sebagainya, tiba-tiba harapan untuk “membebaskan diri” kedengaran seperti sesuatu yang mungkin saya perlu elakkan.

Akan tetapi, perkataan itu amat menarik perhatian kerana menjanjikan sesuatu yang kita mahukan: Kelegaan. Keselesaan. Keselamatan. Pembebasan. Ini merupakan budaya yang cenderung menggoda dan mempengaruhi kita dengan pelbagai cara. Tidak ada salahnya jika kita ingin berehat atau bercuti di tempat yang indah. Tetapi ada perbezaan antara melarikan diri daripada kesusahan hidup dan mempercayakan semua itu kepada Tuhan.

Dalam Yohanes 16, Yesus memberitahu para pengikut-Nya bahawa bab kehidupan mereka yang seterusnya akan menguji iman mereka. Di pengakhirannya Dia membuat kesimpulan ini, “Di dunia kamu akan menderita”. Kemudian Dia menambahkan janji ini, “Tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia” (ayat 33). Yesus tidak mahu para pengikut-Nya jatuh dalam keputusasaan. Sebaliknya, Dia mengajak mereka mempercayai-Nya, dan mengetahui kesejahteraan yang diperuntukkan-Nya: “Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku” (ayat 33).

Yesus tidak menjanjikan kita kehidupan yang bebas daripada kesakitan. Tetapi Dia berjanji bahawa ketika kita mempercayai dan berehat di dalam Dia, kita mendapat kesejahteraan yang lebih mendalam dan lebih mendatangkan kepuasan berbanding godaan di dunia ini.