Saya memejamkan mata dan mula mengira dengan kuat. Para rakan sekelas saya semasa darjah 3 segera keluar dari bilik untuk mencari tempat bersembunyi. Setelah menggeladah setiap kabinet, kotak, dan almari yang terasa seperti berjam-jam lamanya, saya masih tidak dapat menemui salah seorang rakan saya. Rasanya tidak masuk akal ketika dia akhirnya melompat keluar dari belakang paku pakis yang tergantung di siling. Hanya kepalanya yang terlindung oleh tumbuhan itu tetapi seluruh tubuhnya jelas kelihatan!
Memandangkan Tuhan mengetahui segala-galanya, ketika Adam dan Hawa “bersembunyi daripada [Dia]” di Taman Eden, mereka tetap boleh “dilihat dengan jelas” (Kejadian 3:8). Sebenarnya mereka bukan bermain sorok-sorok; mereka secara tiba-tiba menyedari dan malu atas kesalahan mereka setelah memakan buah larangan.
Adam dan Hawa berpaling daripada Tuhan dan peruntukan-Nya ketika mereka tidak mentaati perintah-Nya. Tetapi Tuhan tidak meninggalkan mereka kerana kemarahan, sebaliknya Dia mencari mereka dan bertanya “Di manakah engkau?” (ayat 9). Tuhan bukannya tidak tahu di mana mereka berada, tetapi Dia mahu mereka mengetahui keprihatinan-Nya terhadap mereka.
Saya tidak dapat mencari rakan saya bersembunyi, tetapi Tuhan selalu melihat kita dan mengenali kita. Bagi-Nya, kita selalu kelihatan. Seperti Dia mencari Adam dan Hawa, Yesus mencari kita ketika kita masih “berdosa”. Dia mati di kayu salib untuk menunjukkan kasih-Nya kepada kita (Roma 5:8). Kita tidak perlu lagi bersembunyi.