Filem “Les Misérables” bermula dengan kisah seorang banduan, Jean Valjean yang dibebaskan dengan parol. Dia ditangkap kerana mencuri barang-barang perak seorang paderi dan dijangka akan dihukum kerja paksa di lombong. Tetapi paderi itu mengejutkan semua orang dengan berkata bahawa dia yang memberikan barang-barang perak tersebut kepada Valjean. Setelah polis pergi, paderi itu berkata kepada pencuri itu, “Kamu tidak lagi dikuasai kejahatan, tetapi kebaikan.”
Kasih yang luar biasa itu berpunca dari mata air yang mengalir dengan penuh rahmat. Pada hari Pentakosta, Petrus memberitahu para pendengarnya bahawa kurang daripada 2 bulan yang lalu, di kota yang sama itu, mereka telah menyalibkan Yesus. Orang ramai gelisah dan bertanya apa yang harus dilakukan mereka. Petrus menjawab, “Bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan” (Kisah Rasul-Rasul 2:38). Yesus telah menanggung hukuman yang sepatutnya diterima mereka. Sekarang hukuman mereka akan diampuni jika mereka beriman kepada-Nya.
Rahmat yang begitu ironi. Orang dapat diampuni hanya kerana kematian Kristus, kematian yang seharusnya ditanggung manusia. Betapa besarnya kuasa dan kasih Tuhan! Dia memakai dosa terbesar manusia untuk melaksanakan penyelamatan kita. Jika Tuhan telah melakukan ini dengan dosa manusia yang telah menyalibkan Yesus, kita boleh menganggap bahawa tiada apa-apa yang tidak dapat diubah oleh-Nya untuk menjadi baik. Percayalah kepada Dia yang “mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia” (Roma 8:28).