“Maaf,” kata Karen. Dia meminta maaf kerana menangis. Setelah kematian suami, dia bekerja keras untuk menjaga anak-anak remajanya. Ketika beberapa orang saudara dari gereja mengadakan aktiviti perkhemahan pada hujung minggu untuk menghiburkan mereka dan Karen boleh berehat, Karen menangis dengan kesyukuran dan meminta maaf berulang kali kerana air matanya.
Mengapakah kebanyakan kita meminta maaf kerana menangis? Simon, seorang Farisi, mengajak Yesus makan malam di rumahnya. Semasa sedang makan, ketika Yesus bersandar di meja, seorang wanita yang pernah hidup berdosa membawa sebotol minyak wangi. “Dia berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya; dia menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian kaki Yesus dikeringkan oleh wanita itu dengan rambutnya, lalu kaki Yesus diciumnya dan dituangi minyak wangi” (Lukas 7:38). Tanpa meminta maaf, wanita ini dengan bebas menyatakan kasihnya, kemudian menguraikan rambutnya untuk mengeringkan kaki Yesus. Dengan penuh rasa syukur dan kasih kepada Yesus, dia menitiskan air matanya dan menciumkan kaki Yesus. Itulah tindakan yang berbeza dengan tuan rumah yang bersikap dingin.
Apakah reaksi Yesus? Dia memuji penyataan kasih yang sangat dalam daripada wanita itu dan mengisytiharkan bahawa dia diampuni (ayat 44-48).
Kita mungkin pernah cuba menghalang air mata kesyukuran daripada mengalir. Tetapi Tuhan menjadikan kita makhluk yang beremosi, dan kita boleh menggunakan perasaan kita untuk menghormati-Nya. Seperti wanita dalam Injil Lukas ini, marilah kita mengungkapkan kasih kita dengan air mata tanpa meminta maaf kepada Tuhan kita yang baik, yang memenuhi keperluan dan menerima kesyukuran kita.