Cendekiawan kuno, Jerome dan Tertullian mengisahkan bahawa keadaan apabila seorang jeneral mencapai kemenangan pada zaman Roma kuno: Jeneral itu duduk di kereta pertempurannya yang berkilauan, dan berarak di jalan-jalan ibu kota dari subuh hingga matahari terbenam. Sorakan orang ramai kedengaran. Jeneral menikmati sanjungan dan keseronokan atas kemegahannya. Tetapi legenda mengatakan bahawa seorang hamba berdiri di belakang jeneral itu sepanjang hari dan berbisik ke telinganya, Memento mori (“Ingatlah bahawa suatu hari nanti kamu akan mati”). Dalam segala sanjungan yang diterimanya, jeneral itu sangat memerlukan kerendahan hati yang mengingatkannya bahawa dia hanya seorang manusia biasa.
Yakobus menulis kepada komuniti yang sombong dan bangga kerana kecukupan diri. Yakobus menegur kesombongan mereka dengan perkataan yang menusuk hati: “Allah menentang orang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati” (Yakobus 4:6). Apa yang diperlukan mereka ialah “merendahkan diri di hadapan Tuhan” (ayat 10). Bagaimanakah mereka dapat memelihara kerendahan hati ini? Seperti jeneral Roma, mereka perlu ingat bahawa mereka akan mati pada suatu hari nanti. Yakobus menegaskan, “Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu! Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap” (ayat 14). Dengan mengakui kelemahan sendiri, mereka mendapat kebebasan untuk hidup menurut “rancangan Tuhan” yang tidak berubah, dan bukannya dengan kekuatan mereka sendiri yang beransur hilang (ayat 15).
Apabila kita melupakan bahawa hidup kita sebenarnya singkat, ia boleh menimbulkan kesombongan diri. Tetapi apabila kita merendah diri kerana sedar akan kesingkatan hidup kita, kita melihat setiap nafas dan waktu sebagai berkat daripada Tuhan. Memento mori.