Pasangan berusia dalam lingkungan 80-an, iaitu seorang berasal dari Jerman dan seorang lagi dari Denmark, merupakan pasangan yang luar biasa. Mereka masing-masing telah berkahwin selama 60 tahun sebelum mereka menjadi janda dan duda. Mereka tinggal di negara berasingan yang hanya dipisahkan oleh sempadan sejauh 15 minit jaraknya. Meskipun demikian, mereka tetap saling mencintai, sering menikmati makanan masakan sendiri dan meluangkan masa bersama. Malangnya pada tahun 2020, kerajaan Denmark menutup jalan masuk sempadan disebabkan virus korona,. Namun itu tidak menjadi halangan bagi mereka. Setiap hari pada jam 3:00 petang, kedua-duanya akan bertemu di jalan yang kecil dan sunyi, duduk bersebelahan di sempadan negara masing-masing dan berkongsi makanan. “Kami berada di sini kerana cinta,” jelas lelaki itu. Cinta mereka lebih kuat daripada sempadan, lebih hebat daripada pandemik.
Kidung Agung memaparkan kekuatan cinta yang tidak terkalahkan. Salomo menegaskan, “Cinta itu sekuat maut” (8:6). Tiada seorang pun dapat mengelakkan kematian; ia akan berlaku ke atas setiap orang. Tetapi penulis berkata bahawa cinta sama kuatnya dengan kematian. Bahkan “[nyala cinta] seperti nyala api, yang berkobar dengan dahsyat” (ayat. 6). Pernahkah anda menyaksikan api yang meletup dan terus memarak? Cinta itu seperti api yang mustahil untuk dikawal. “Air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta, air bah tidak dapat menenggelamkannya” (ayat 7).
Cinta manusia yang sejati dan tidak mementingkan diri selalu memancarkan ciri-ciri tersebut. Bagaimanapun, hanya kasih Tuhan yang dapat menawarkan kekuatan, kedalaman tanpa batas dan kuasa yang kukuh. Apa yang lebih menakjubkan: Tuhan mengasihi setiap kita dengan kasih yang tidak dapat dipadamkan.