Catherine ialah rakan baik saya sejak sekolah menengah. Apabila kami tidak berbual melalui telefon, kami akan bertukar-tukar nota kecil di kelas untuk merancang rumah siapa kami akan pergi bermalam. Kadangkala kami berdua pergi menunggang kuda dan bekerjasama untuk melakukan projek sekolah.
Pada suatu petang Ahad, saya terfikir tentang Catherine. Pada pagi itu, saya telah mendengar khutbah pastor tentang bagaimana memperoleh hidup kekal, dan saya tahu rakan saya ini tidak mempercayai ajaran Alkitab. Saya terdorong untuk menelefon dan memberitahunya bagaimana dia boleh memiliki hubungan dengan Yesus. Tetapi saya ragu-ragu kerana takut dia akan menolak dan menjauhi saya.
Saya fikir perasaan takut membuat ramai orang Kristian berdiam diri. Rasul Paulus sendiri meminta orang berdoa agar “dengan berani … dapat memberitahukan rahsia Berita Baik itu” (Efesus 6:19). Kita tidak dapat mengelakkan risiko yang timbul ketika berkongsi Berita Baik, tetapi Paulus mengatakan bahawa dia “seorang duta” yang berbicara atas nama Tuhan (ayat 20). Kita juga adalah duta. Jika orang menolak mesej kita, mereka juga menolak Dia yang mengirim mesej itu. Tuhan turut mengalami penolakan bersama dengan kita.
Jadi apakah yang menggesa kita berkongsi Berita Baik? Kita mempedulikan orang seperti yang dilakukan Tuhan (2 Petrus 3:9). Itulah yang menyebabkan saya akhirnya menelefon Catherine. Sungguh luar biasa, dia tidak menolak. Dia mendengar dan mengemukakan soalan. Dia meminta Yesus mengampuni dosanya dan menerima Dia sebagai Penyelamatnya. Inilah risiko yang saya sanggup ambil untuk melihat Catherina percaya kepada Tuhan.