Seperti tali yang terungkai , kehidupan seorang pastor dan pengarca, Doug Merkey ibarat benang yang putus. “Ibu aku tewas setelah sekian lama bergelut dengan barah; hubungan cinta jangka panjang aku berakhir; aku kehabisan wang; masa depan kerjaya aku menjadi suram … Kegelapan emosi dan rohani di sekeliling aku dan dalam diri aku amat parah dan melemahkan, seolah-olah tiada jalan keluar,” tulisnya. Satu demi satu kejadian ini, tambahan ketika waktu tinggal di loteng yang sempit telah memberi dia inspirasi untuk membentuk arca The Hiding Place (Tempat Persembunyian). Arca itu menggambarkan tangan Kristus yang kuat dengan bekas paku, ditangkupkan sebagai tempat persembunyian.
Doug menjelaskan reka bentuk karya seninya dengan cara ini: “Arca itu adalah jemputan Kristus untuk bersembunyi dalam Dia.” Dalam Mazmur 32, Daud menulis sebagai orang yang telah menemukan tempat yang paling selamat dalam Tuhan. Dia memberikan pengampunan bagi dosa kita (ayat 1-5) dan mendorong kita berdoa pada masa kesusahan (ayat 6). Dalam ayat 7, pemazmur menyatakan kepercayaannya kepada Tuhan: “Engkaulah tempat persembunyianku, Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku. Aku bersorak memuji-Mu, kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku.”
Pada saat masalah muncul, ke manakah anda berpaling? Alangkah leganya apabila mengetahui bahawa ketika tali-tali rapuh kehidupan kita mula terungkai, kita dapat datang kepada Tuhan yang telah menyediakan keselamatan kekal melalui karya pengampunan Yesus.