Sebuah sekolah Kristian untuk kanak-kanak autistik di India menerima derma besar daripada sebuah syarikat. Setelah memeriksa bahawa tiada sebarang ikatan keuntungan yang terlibat, maka mereka menerima wang tersebut. Tetapi, kemudian syarikat itu meminta supaya menghantar wakilnya menjadi ahli lembaga sekolah. Pengarah sekolah mengembalikan wang tersebut. Dia tidak mahu membiarkan nilai-nilai sekolah dikompromikan. Dia berkata, “Lebih penting melakukan pekerjaan Tuhan dengan cara Tuhan.”
Terdapat banyak sebab untuk menolak bantuan, dan ini merupakan salah satunya. Kita dapat melihat kisah sedemikian dalam Alkitab. Ketika orang-orang Yahudi dalam pembuangan kembali ke Yerusalem, Raja Kores memerintahkan mereka untuk membina semula Rumah TUHAN (Ezra 3). Apabila orang dari negara jiran mereka berkata, “Benarkanlah kami ikut membina Rumah TUHAN. Kami pun menyembah Allah yang sama” (4:2), para pemimpin Israel menolak pertolongan itu. Pemimpin Israel menyimpulkan bahawa jika mereka menerima tawaran bantuan itu, integriti dalam projek pembangunan semula Rumah TUHAN akan dikompromikan dan penyembahan berhala dapat menyelinap ke dalam komuniti mereka kerana jiran mereka menyembah berhala. Orang Israel membuat keputusan yang tepat kerana “jiran-jiran” mereka kemudian berusaha menghalang pembangunan tersebut.
Kita dapat semakin mengerti kehendak Tuhan dengan pertolongan Roh Kudus dan nasihat orang-orang percaya yang berhikmat dalam Yesus. Kita juga dapat mengatakan “tidak” dengan yakin kepada tawaran yang kelihatan ramah, tetapi membahayakan kerohanian kita tanpa disedari, kerana pekerjaan Tuhan yang dilaksanakan dengan cara-Nya pasti akan dicukupkan-Nya.