Dalam sebuah video yang dikongsi secara meluas, seorang wanita tua yang anggun duduk di kerusi roda. Marta González Saldaña yang dulunya seorang penari balet terkenal, kini menderita penyakit Alzheimer. Tetapi sesuatu yang ajaib berlaku apabila muzik Tchaikovsky Swan Lake (Danau Angsa) dimainkan. Sementara itu, tangannya yang lemah terangkat perlahan-lahan; dan ketika trompet pertama kedengaran, dia mula membuat persembahan di kerusi rodanya. Walaupun fikiran dan tubuhnya semakin merosot, bakatnya tetap ada.
Ketika merenungkan video tersebut, fikiran saya tertuju kepada ajaran Paulus mengenai kebangkitan dalam 1 Korintus 15. Tubuh kita disamakan dengan benih yang ditanam sebelum bertunas menjadi tumbuhan. Paulus mengatakan bahawa walaupun tubuh kita mungkin merosot akibat usia tua atau penyakit, mungkin ia menjadi kurus kering, dilanda kemerosotan, tetapi tubuh orang percaya akan dibangkitkan dengan tubuh yang hidup selama-lamanya, penuh dengan kemuliaan dan kuasa (ayat 42-44). Seperti kaitan organik antara benih dan tanaman, tubuh fana kita akan menjadi tubuh rohani setelah kebangkitan, keperibadian dan bakat kita tetap utuh tetapi kita akan menjadi lebih bersemarak daripada masa dahulu.
Ketika melodi Danau Angsa dimainkan, Marta pada mulanya kelihatan murung. Mungkin dia teringat akan keadaannya pada masa lalu yang tidak mampu lagi dilakukannya sekarang. Tetapi kemudian seorang lelaki datang serta mencapai dan memegang tangannya. Hal sedemikian juga akan berlaku kepada kita. Trompet akan dibunyikan (ayat 52), tangan akan dihulurkan, dan kita akan bangkit dan menari dengan sukacita.