Jam saku yang terhenti kini disimpan sebagai arkib perpustakaan di Universiti North Carolina, menceritakan kisah yang amat memilukan. Waktu yang berhenti (8:19 dan 56 saat) pada jam saku milik Elisha Mitchell menunjukkan saat dia tergelincir dan maut jatuh dari sebuah air terjun di Gunung Appalachian pada pagi 27 Jun 1857.
Mitchell merupakan seorang profesor di universiti itu dan masa itu dia sedang mengumpulkan data untuk mempertahankan kebenaran dakwaannya bahawa puncak gunung yang dipijaknya—sekarang dinamakan Gunung Mitchell—merupakan gunung tertinggi di timur Mississippi. Kuburnya terletak di puncak gunung yang tidak jauh dari tempat dia terjatuh.
Ketika saya mendaki ke puncak gunung tersebut baru-baru ini, saya merenungkan kisah Mitchell dan kematian saya sendiri, serta masa terhad yang kita miliki masing-masing. Kemudian saya merenungkan kata-kata Yesus tentang kedatangan-Nya ketika Dia bercakap kepada pengikut-pengikut-Nya di bukit Zaitun: “Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka” (Matius 24:44).
Yesus dengan jelas menyatakan bahawa tidak seorang pun mengetahui waktu Dia akan datang kembali dan mendirikan Pemerintahan-Nya selama-lamanya, atau waktu Dia akan memanggil kita meninggalkan dunia ini dan datang kepada-Nya. Tetapi Dia berfirman kepada kita untuk bersedia dan “berjaga-jaga” (ayat 42).
Tik … tik … “Jarum jam” untuk setiap kehidupan kita masih bergerak, tetapi untuk berapa lama? Semoga kita menjalani setiap saat kehidupan kita dalam kasih dengan Penyelamat kita yang penuh belas kasihan, menanti dan bekerja untuk Dia.