Derek perasan anak lelakinya tidak mahu menanggalkan bajunya untuk berenang. Dia juga menyedari bahawa itu disebabkan anaknya malu akan tanda lahir yang menutupi bahagian dada, perut dan lengan kirinya. Derek bertekad untuk menolong anaknya, maka dia menjalani proses menatu tubuhnya yang lama dan menyakitkan, semata-mata membuat tanda yang sama dengan anaknya.

Kasih Derek terhadap anaknya mencerminkan kasih Tuhan kepada anak-anak-Nya. Ini kerana kita yang disebut anak-anak-Nya “terdiri daripada darah dan daging” (Ibrani 2:14), Yesus menjadi seperti kita, mengambil rupa manusia dan “hidup dalam keadaan manusia” untuk membebaskan kita daripada kuasa kematian (ayat 14). “Dia harus menjadi seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal” (ayat 17) supaya kita boleh berdamai dengan Tuhan.

Derek ingin menolong anaknya mengatasi rasa malu dan menjadikan dirinya “seperti” anaknya. Yesus menolong kita mengatasi masalah kita yang jauh lebih besar, iaitu perhambaan yang mengakibatkan kematian. Dia mengatasi hal ini untuk kita dengan menjadikan diri-Nya sebagai manusia seperti kita, menanggung akibat daripada dosa kita dengan mati bagi kita.

Kesanggupan Yesus untuk hidup sebagai manusia bukan sahaja menjamin hubungan kita yang benar dengan Tuhan, tetapi juga membolehkan kita mempercayai Dia pada saat pergelutan kita. Ketika kita menghadapi godaan dan kesusahan, kita dapat bersandar kepada Dia untuk mendapatkan kekuatan serta sokongan kerana “Dia dapat menolong” (ayat 18). Seperti seorang ayah yang penyayang, Tuhan memahami dan mempedulikan kita.