Anne, watak utama dalam cerita Anne of Green Gables, menginginkan sebuah keluarga. Sebagai seorang anak yatim, dia putus harapan untuk mencari tempat yang dapat disebutnya sebagai rumah. Tetapi dia mendapat tahu bahawa seorang lelaki yang lebih tua bernama Matthew dan adik perempuannya Marilla akan mengambil dia sebagai anak angkat. Sewaktu menunggang kereta kuda untuk pulang ke rumah mereka, Anne memohon maaf kerana banyak bercakap, tetapi Matthew, seorang yang pendiam berkata, “Kamu boleh bercakap sebanyak mana pun yang kamu suka. Tiada masalah pun.” Anne sangat senang hati mendengarnya. Dia merasakan tiada sesiapa yang pernah hendak mengambilnya, apatah lagi mahu mendengar sembangnya. Namun setiba di rumah itu, harapannya hancur apabila dia mendapat tahu adik-beradik itu sebenarnya ingin mendapatkan seorang anak lelaki untuk membantu pekerjaan di ladang. Dia bimbang akan dikembalikan ke rumah anak yatim, tetapi Anne yang teramat ingin sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang telah menjadi kenyataan apabila mereka menerimanya sebagai anggota keluarga.
Setiap kita pernah melalui masa bahawa kita seolah-olah tidak diingini atau berasa keseorangan. Tetapi apabila kita menjadi anggota keluarga Tuhan dengan percaya kepada keselamatan yang diberikan Yesus, Dia menjadi pelindung dan penyelamat kita (Mazmur 62:3). Dia berkenan dengan kita dan menjemput kita bercakap dengan-Nya tentang apa-apa sahaja: kebimbangan, godaan, kesedihan dan harapan kita. Pemazmur berkata kita boleh menantikan Tuhan “dengan tenang” dan “beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya” (Mazmur 62:6,9).
Jangan teragak-agak. Bercakaplah dengan Tuhan sebanyak mana yang anda suka. Tiada pun masalahnya bagi Tuhan. Dia bergembira dengan hati kita. Di dalam Tuhan, anda akan menemukan sebuah keluarga.