Satu badan pelayanan di Carlsbad, New Mexico, membantu masyarakat tempatan mereka dengan menawarkan lebih daripada 11,000 kg makanan percuma setiap bulan kepada penduduk setempat. Pemimpin pelayanan itu berkata, “Orang boleh datang ke sini, dan kami akan menerima mereka dan tahu keperluan mereka. Matlamat kami adalah … memenuhi keperluan praktikal mereka untuk mencapai keperluan rohani mereka.” Sebagai orang yang percaya kepada Kristus, Tuhan mahu kita menggunakan apa yang telah diberikan kepada kita untuk memberkati orang lain, menarik masyarakat kita lebih dekat kepada-Nya. Bagaimanakah kita dapat membentuk hati yang bersedia menjalankan pelayanan yang membawa kemuliaan kepada Tuhan?

Kita melatih hati yang melayani dengan meminta Tuhan menunjukkan kita cara menggunakan kurnia-kurnia yang diberikan-Nya untuk membawa manfaat kepada orang lain (1 Petrus 4:10). Dengan cara ini, kita “menyebabkan banyak orang bersyukur kepada Allah” atas kelimpahan berkat yang dikurniakan-Nya (2 Korintus 9:12).

Melayani orang lain adalah bahagian penting dalam pelayanan Yesus. Apabila Dia menyembuhkan orang sakit dan memberikan makanan kepada orang yang lapar, ramai orang mula mengenal kebaikan dan kasih Tuhan. Dengan mengambil berat terhadap komuniti kita, kita mengikuti model pemuridan-Nya. Kebijaksanaan Tuhan mengingatkan kita bahawa apabila kita menunjukkan kasih Tuhan melalui tindakan, “banyak orang Kristian di Yudea akan memuliakan Allah” (ayat 13). Pelayanan bukan tentang memuaskan diri sendiri, tetapi menunjukkan betapa besarnya kasih Tuhan kepada orang lain dan cara-cara ajaib yang dilakukan-Nya melalui orang-orang yang dipanggil oleh nama-Nya.