Saya akan membaca Doa Bapa Kami hampir setiap pagi. Selagi kata-kata doa itu belum berakar umbi dalam diri saya, saya kurang bersedia menghadapi hari yang baru. Baru-baru ini saya hanya melafazkan dua perkataan pertama―”Bapa kami”―tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya berasa hairan kerana waktu itu jam menunjukkan pukul 5:43 pagi. Siapa ya? Skrin telefon menunjukkan “Bapa.” Sebelum saya sempat menjawab, panggilan sudah berakhir. Saya teka bahawa bapa telah memanggil saya secara tidak sengaja. Tepat tekaan saya, dia telah silap memanggil. Ini satu kebetulan? Mungkin, tetapi saya percaya kita hidup di dunia yang diliputi belas kasihan Tuhan. Pada hari itu, saya terutamanya memerlukan janji Bapa kita bahawa Dia sentiasa hadir.

Fikirkan tentang itu sebentar. Antara semua cara yang dapat diajarkan oleh Yesus kepada para pengikut-Nya untuk memulakan doa mereka, Dia memilih dua perkataan―”Bapa kami” (Matius 6:9) sebagai permulaan doa. Adakah itu pilihan rawak? Tidak, Yesus amat teliti tentang penggunaan perkataan-Nya. Setiap kita mempunyai hubungan yang berbeza dengan bapa kandung atau bapa tiri kita. Ada yang baik, ada yang kurang baik. Walau bagaimanapun, berdoa dalam cara yang sepatutnya bukanlah memanggil “bapa saya” atau “bapa anda”, tetapi “Bapa kami”, iaitu Peribadi yang melihat dan mendengar kita, dan tahu apa yang kita perlukan sebelum kita meminta kepada-Nya (ayat 8).

Inilah jaminan yang luar biasa, terutamanya pada hari ketika kita berasa dilupakan, bersendirian, ditinggalkan, atau tidak berharga. Ingatlah, Bapa kita yang di syurga sentiasa dekat dengan kita tidak kira pada jam berapa, siang atau malam, dan di mana jua kita berada.