Lea akan mula bekerja sebagai jururawat di Taiwan. Dia akan dapat menyara keluarganya dengan lebih baik daripada yang boleh dilakukannya di Manila, kerana peluang pekerjaan di situ adalah terhad. Pada malam sebelum berlepas, Lea berpesan kepada kakaknya yang akan menjaga anak perempuannya yang berusia lima tahun, “Dia akan makan vitaminnya kalau kakak bagi dia satu sudu mentega kacang juga,” jelas Lea, “Ingat juga ya, dia ’ni pemalu orangnya. Lama-kelamaan dia akan bermain dengan sepupunya juga. Dia juga takut gelap … “.

Semasa melihat ke luar tingkap pesawat pada keesokan harinya, Lea berdoa: Ya Tuhan, tiada sesiapa pun yang mengenal anak perempuan saya seperti saya. Saya tidak dapat tinggal bersamanya, tetapi Engkau dapat.

Kita mengenal orang yang kita sayangi, dan kita memperhatikan segala selok-belok keperibadian mereka kerana mereka berharga bagi kita. Apabila kita tidak dapat bersama dengan mereka disebabkan pelbagai keadaan, kita sering berasa cemas memandangkan tiada sesiapa mengenal mereka seperti kita, maka mereka akan lebih mudah terdedah kepada bahaya.

Dalam Mazmur 139, Daud mengingatkan kita bahawa Tuhan mengenal kita lebih daripada sesiapa pun. Dengan cara yang sama, Dia mengenal orang-orang yang kita sangat sayangi secara mendalam (ayat 1-4). Dia Pencipta mereka (ayat 13-15), maka Dia memahami keperluan mereka. Dia tahu apa yang akan berlaku setiap hari dalam hidup mereka (ayat 16), dan Dia menyertai mereka dan tidak akan meninggalkan mereka (ayat 5, 7-10).

Apabila anda bimbang akan orang lain, serahkan mereka kepada Tuhan kerana Dia paling mengenal dan sangat mengasihi mereka.