Juanita memberitahu anak buahnya tentang kisah mereka membesar semasa Zaman Kemelesetan. Makanan yang ada untuk keluarganya yang miskin hanyalah beberapa buah epal dan apa sahaja binatang liar buruan ayahnya. Setiap kali apabila ayah mereka membawa pulang tupai untuk dijadikan makan malam, ibunya akan berkata, “Bagi saya kepala tupai itu. Itu yang ’mak mahu makan. Inilah bahagian daging yang terbaik.” Beberapa tahun kemudian Juanita menyedari bahawa bahagian kepala tupai itu tidak ada daging. Ibunya tidak memakannya. Dia hanya berpura-pura mengatakan itu adalah makanan istimewa “supaya anak-anaknya boleh mendapatkan lebih banyak makanan dan kami tidak akan bimbangkan dia.”

Apabila kita merayakan Hari Ibu esok, semoga kita juga menceritakan kasih sayang ibu kita. Kita bersyukur kepada Tuhan untuk mereka dan berusaha untuk lebih mengasihi ibu seperti mereka mengasihi kita.

Paulus melayani gereja Tesalonika “seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya” (1 Tesalonika 2:7). Dia sangat menyayangi, mengharungi “tentangan” untuk memberitahu mereka tentang Yesus dan bersedia mati bagi mereka (ayat 2,8). Paulus berkata bahawa dia [dan rakan sepelayanannya] “bekerja siang malam supaya kami tidak menjadi beban kepada kamu semasa kami mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah’ (ayat 9). Seperti seorang ibu.

Tidak ramai orang dapat menolak kasih seorang ibu, dan Paulus dengan rendah hati berkata usahanya “tidak sia-sia” (ayat 1). Kita tidak dapat mengawal tindak balas orang lain, tetapi kita boleh memilih untuk menemani ibu kita, melayani mereka hari demi hari dengan pengorbanan. Ibu akan berasa bangga, begitu juga Bapa Syurgawi kita.