Cap jari telah lama digunakan untuk mengenal pasti identiti seseorang, tetapi cara ini dapat dipalsukan dengan membuat salinan. Begitu juga, corak iris dalam mata manusia adalah sumber pengenalan diri yang boleh dipercayai―sehingga seseorang mengubah corak iris mata dengan kanta lekap untuk memesongkan keputusannya. Penggunaan biometrik untuk mengenal pasti individu dapat dipalsukan. Jadi, apakah yang layak digunakan sebagai ciri pengenalpastian yang unik? Ternyata corak saluran darah setiap orang adalah unik dan hampir mustahil untuk dipalsukan. “Peta saluran darah” peribadi anda adalah satu-satunya pengenalan yang dapat membezakan semua orang di planet ini.

Kerumitan dalam sistem badan manusia seharusnya mendorong kita menyembah dan mengagumi Pencipta yang telah mencipta kita. Daud mengingatkan kita bahawa kita telah “diciptakan dengan baik dan luar biasa” (Mazmur 139:14), dan itu tentu sekali layak untuk diraikan. Malah, Mazmur 111:2 mengingatkan kita, “Sungguh menakjubkan perbuatan yang dilakukan TUHAN; semua orang yang menyukai perbuatan itu merenungkannya.”

Malah yang lebih layak mendapat perhatian kita ialah Pencipta itu Sendiri. Semasa kita meraikan perbuatan agung Tuhan, kita juga harus meraikan Peribadi-Nya! Perbuatan-Nya memang hebat, tetapi Dia lebih besar, dan hal ini mendorong pemazmur berdoa, “Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah” (86:10).

Pada hari ini, apabila kita merenungkan perbuatan Tuhan yang begitu besar, semoga kita juga mengagumi kehebatan tentang siapa Dia.