Kelas pengenalan aikido, satu seni mempertahankan diri tradisional Jepun, merupakan pembuka mata. Sensei, atau guru, memberitahu kami ketika berhadapan dengan penyerang, tindak balas pertama kita adalah “melarikan diri.” “Hanya apabila kamu tidak dapat melarikan diri, barulah kamu melawan,” katanya dengan serius.
Melarikan diri? Saya terkejut. Mengapa pengajar pertahanan diri yang berkemahiran tinggi ini menyuruh kita melarikan diri daripada pertarungan? Ini nampak sangat bertentangan dengan gerak hati seorang pendekar. Saya tidak mengerti sehinggalah dia menjelaskan bahawa apa itu bentuk pertahanan diri yang terbaik: mula-mulanya, elakkan pertarungan!
Ketika beberapa orang datang untuk menangkap Yesus, respons Petrus adalah seperti apa yang mungkin kita lakukan—menghunus pedangnya untuk menyerang salah seorang penangkap itu (Matius 26:51; lihat Yohanes 18:10). Tetapi Yesus menyuruh Petrus menyarungkan kembali pedang itu dan berkata, “Bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” (Matius 26:54).
Sementara menegakkan keadilan itu penting, kita juga perlu memahami tujuan dan Pemerintahan Tuhan. Ini adalah sebuah sistem pemerintahan “songsang” yang memanggil kita mengasihi musuh kita dan membalas kejahatan dengan kebaikan (5:44). Ini sangat berbeza dengan tindak balas yang mungkin ditunjukkan oleh dunia ini, namun inilah tindak balas yang ingin dipupuk oleh Tuhan dalam diri kita.
Lukas 22:51 turut menggambarkan Yesus menyembuhkan telinga orang yang dikerat oleh Petrus. Semoga kita belajar untuk memberi respons seperti Yesus dalam keadaan yang sukar, selalu mencari perdamaian dan pemulihan sementara Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan.