Pada tengah hari 21 September 1938, seorang ahli meteorologi muda, Charles Pierce memberi amaran kepada Jabatan Kaji Cuaca Amerika Syarikat tentang dua taufan yang akan beralih ke bahagian utara lalu mengarah ke New England. Akan tetapi ketua peramal cuaca mencemuh ramalan Charles Pierce. Malah berfikir bahawa ribut tropika tidak akan menyerang bahagian utara yang begitu jauh.
Dua jam kemudian, Taufan New England 1938 melanda Long Island. Menjelang jam 4:00 petang, angin kencang telah sampai ke New England, melambungkan kapal-kapal laut ke daratan dan rumah-rumah runtuh ke lautan. Lebih daripada 600 orang telah diragut nyawa. Sekiranya mangsa mengendahkan amaran Pierce—berdasarkan data yang kukuh dan peta yang terperinci—mereka mungkin akan terselamat.
Konsep untuk mengetahui kata-kata siapa yang patut dipatuhi tertulis dalam Alkitab. Pada zaman Yeremia, Tuhan memberi amaran kepada umat-Nya terhadap nabi palsu. “Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku” (Yeremia 23:16). Tuhan berkata tentang mereka, “Seandainya mereka tahu apa yang terkandung dalam fikiran-Ku, tentu mereka akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku kepada umat-Ku” (ayat 22).
“Nabi-nabi palsu” masih ada di kalangan kita. “Pakar” memberi nasihat sambil mengabaikan Tuhan sama sekali atau memutarbelitkan kata-kata-Nya untuk memenuhi tujuan mereka. Tetapi melalui firman Tuhan dan Roh Kudus, Tuhan telah memberikan apa yang kita perlukan untuk membezakan yang benar daripada yang salah. Semasa kita melihat segala-galanya berdasarkan kebenaran firman-Nya, setiap perkataan dan hidup kita akan mencerminkan kebenaran itu kepada orang lain.