Pili bomba memancut ke jalan, dan saya melihat peluang saya. Beberapa kereta sudah disimbah air di hadapan saya dan saya berfikir, alangkah baiknya ada perkhidmatan percuma untuk cuci kereta! Sudah sebulan kereta saya tidak dibersihkan dan debu sudah tebal. Oleh itu, saya hidupkan kereta dan menuju ke pancutan air

Krak!

Segalanya berlaku dengan sangat cepat. Matahari sudah bersinar ke atas kereta hitam saya pada pagi itu, sehingga memanaskan kaca dan bahagian dalamnya. Tetapi air dari pili itu sejuk. Sebaik sahaja semburan air sejuk melanda kaca depan yang panas, tiba-tiba berlaku retakan dengan cepat sekali seperti kilat dari atas ke bawah. Cucian kereta “percuma” saya itu akhirnya menelan kos pembaikan yang tinggi.

Kalaulah saya “berhenti seketika” untuk berfikir bahkan untuk berdoa. Pernah mengalami keadaan seperti itu? Orang Israel pernah mengalaminya dalam keadaan yang jauh lebih berat. Tuhan telah berjanji untuk menolong mereka mengusir bangsa-bangsa lain ketika mereka memasuki tanah yang diberikan-Nya (Yosua 3:10) supaya mereka tidak akan tergoda oleh tuhan-tuhan palsu (Ulangan 20:16-18). Tetapi salah satu bangsa itu melihat kemenangan Israel lalu menggunakan roti yang berkulapuk untuk menipu Israel supaya percaya bahawa mereka tinggal di tempat jauh. “ Umat Israel menerima makanan yang diberikan oleh mereka, tetapi tidak meminta petunjuk daripada TUHAN. Yosua membuat perjanjian damai dengan semua orang Gibeon itu” (Yosua 9:14-15), tanpa menyedari bahawa dia telah melanggar arahan Tuhan.

Apabila kita menjadikan doa sebagai jalan pertama dan bukan yang terakhir, kita mengundang petunjuk, hikmat, dan berkat Tuhan. Semoga Dia menolong kita untuk ingat “tekan butang berhenti” pada hari ini.